| ...Tasawwuf (bersambung) | |
CINTA MENURUT SABDA-SABDA NABI
Nabi Muhammad s.a.w. memberi perhatian khusus kepada cinta terhadap Allah dan baginda telah seringkali mengulanginya dalam khutbah Jumaat kenyataan berikut:
"Sesiapa yang tidak mempunyai cinta tidak mempunyai iman."
Adalah dinyatakan dalam salah sebuah Kitab Hadith yang sahih, Sahih-al-Bukhari suatu Hadith Qudsi (Qudsi adalah hadith yang telah difirmankan Allah kepada Nabi untuk disampaikan kepada mereka yang beriman).
"Tidak ada cara lain hambaku mendekatiku selain dari melakukan kewajipan..... sehingga Aku cinta padanya dan apabila Aku sayang padanya,Akulah pendengarnya, supaya ia mendengar di sisiku...."
Hadith ini ada dinyatakan sebelum ini. Dalam satu Hadith yang lain, Nabi bersabda:
"Allah berfirman bahawa Ianya adalah Yang Paling Berharga \yang Tersembunyi. Ianya ingin diketahui dan dari itu Ia mencipta alam semesta."
Hadith ini adalah asas agama Islam di mana cinta terhadap Allah tercapai melalui gambaran dari bayangNya-(Manusia).
* * *
Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
"Allah mencipta manusia dari bayangNya."
Dari itu apabila Allah adalah Kekasih, BayangNya adalah juga Kekasih.
Tidak dapat disangkal lagi iaitu dalam syair para Sufi Zahid (Wara') telah dikecam sebagai hanya pertapa (ascetic) tanpa cinta, memberi kesempatan kepada musuh Islam, untuk menuduh Islam sebagai semuanya Zuhud belaka, tanpa menyedari bahawa tuduhan tersebut terhadap ortodoks dari pihak penyaer Sufi hanya berlaku pada zaman kemerosotannya-bilamana beberapa ulama zahiri (exoteric) didapati mengabaikan aspek kerohanian (esoteric) Islam. Sebenarnya cinta adalah dayakuasa yang hebat sekali seumpama roket yang membawa insan meneruju ke pangkuan Illahi, di mana zahiriah dan rasionalisme yang tawar tidak berhasil mencapainya. Apabila seorang kekasih dilanda gelora cinta, ia lalu mencurahkan perasaannya dengan syair.
Maulana Jalaluddin Rumi berkata dalam "Mathnavi"nya yang terkenal:
Dengarlah bunyi seruling bambu (manusia), bagaimana ia mengeluh, merintih kediaman asalnya (Ketuhanan).
Pecah dadaku, dalam usaha untuk mencurahkan perasaan keluh- kesah dan untuk menceritakan kesakitan dan keinginan terhadap asalku (Tuhan).
Api cintalah yang mengilhami seruling bambu.
Arak cintalah yang merasuk air anggur.
Bangunlah, O anakku; lepaskan belenggumu dan merdekalah engkau.
Berapa lamakah engkau akan dicengkam oleh perak dan emas?
Hanya ia yang pakaiannya yang disiat oleh perkosaan cinta sahajalah yang seluruhnya suci dari tamak haloba dan maksiat.
Syabas padamu, O cinta, keasyikan manis; cinta meningkatkan jasad kita ke langit dan memujuk bukit-bukau (manusia) menari dengan girang.
Wahai kekasih, cintalah yang memberi nafas kepada Gunung Sinai, apabila ia bergempa, lalu Musa jatuh pengsan.
Yang DiKasehi adalah semua dalam semua, kekasih hanya menghijab Nya.
Yang DiKasehi adalah semua yang Bernyawa, kekasih tidak bernyawa.
Bagaimanakah aku akan mengekalkan inderaku, sedangkan Yang DiKasehi tidak memperlihatkan cahaya wajahNya?
Tahukah engkau kenapa cermin tidak berbayang?
Sebab karat tidak dikikis dari permukaannya.
Kalau ianya dibersihkan dari segala karat maka ia akan membayangkan wajah Tuhan sebagaimana semestinya.
Seorang kekasih mungkin mengingini cinta ini atau cinta itu, tetapi pada akhirnya ia akan terpikat dengan Raja segala raja.
Seorang penyaer pernah berkata:
Tanpa mengorbankan diri, seseorang itu tidak akan berjumpaMu. Sesiapa yang ingin membeliMu, mesti dahulu menjual dirinya.
Khawaja Masud Chishti telah menghuraikan cinta sebagai berikut:
Wahai Teman, apabila cinta memasuki hati ia akan membunuhnya, apabila ia memasuki mata ia akan menjadikannya sungai, apabila ia sampai pada pakaian, maka ia akan merobekkannya, apabila ia menyerang kehidupan ia akan memusnahkannya, apabila ia menyerang kekayaan, ia akan menghancurkannya.
Seorang penyaer lain pula berkata:
Sebaik sahaja aku dengar sebutan mengenai KejelitaanNya, Seketika itu juga gelombang cinta telah merampas segala akal-fikiran dan perasaanku
Seorang penyaer lagi meluahkan perasaannya seperti berikut:
Aku tidak perlu seorang tabib untuk merawatku, dan tidak perlu juga simpati dari sesiapa. Penyembuh untuk kesakitan ini adalah kesakitan itu sendiri yang ada pada diriku; yang tiada ubatnya.
Rasulullah S.A.W. sendiri berdoa' dengan khusyu' pada waktu sembahyang seperti berikut:
Ya Allah , berkatilah aku dengan mata yang menangis.
Seorang lagi kekasih telah berkata:
Oh! Aku menangis berterusan dalam perpisahan denganMu, sehingga seluruh dunia menjadi basah.
Saadi dari Shiraz (Iran) berkata:
Oh Tuhan! Apakah pancutan air cintaMu itu, Aku hanya menghirup setitik sahaja namun menangis sesungai."
Sekali lagi ia berkata:
Apakah yang sesuai harus aku korbankan di kakiMu, Sedangkan kepalaku sendiri pun tidak layak untuk diletak di kakiMu.
Seorang kekasih lain berkata:
Seseorang yang asyik mengingatiMu tidak akan mengingati dunia ini. Seseorang terluka terkena panahMu tidak memerlukan pertolongan. Sekiranya aku menderita seribu rintihan dalam CintaMu, aku tidak berasa sakit sekiranya Kamu berada di sisiku.
Kita tidak melihat apa-apa kecuali Satu Kita tidak memuja sesiapa kecuali Satu Kita tidak mengejar sesiapa kecuali Satu Kita telah melewati diri kita sendiri Dan menyisihkan semua kecualiNya
Dan seorang lagi berkata:
Wahai kekasih, kalau keinginanMu supaya aku melupakan keinginanku, seluruh keinginanku ialah untuk menghormati keinginanMu.
Kalau aku terkena panah atau dibunuh dengan pedang, tiada sebarang senjata itu boleh menghalangku dari mencariMu.
Seorang lagi pula berkata:
"Tanda pengikatan dengan Kekasih adalah pemisahan dari segala yang lain."
Shibli pernah berkata,
"Cinta adalah api yang membakar segala-galanya kecuali Yang DiKasihi"
Seorang penyaer Sufi pula berkata:
Apabila keharuman Kekasih mengharumi sisa-sisa pengasih, maka tidak hairanlah jika tulang belulang mereka yang reput itu hidup kembali .
Amir Khusru dari Delhi pula berkata:
"Sekalipun tulang-tulangku telah hancur menjadi debu, malah jantung-hatiku tidak akan luput dari mencintaiMu."
Fana
Syair-syair cinta tersebut diatas mengisahkan peringkat "pencarian", Sair-ila-Allah (perjalanan menuju Allah,) di mana kehangatan cinta menjelma di sanubari penyair. Selepas itu ia mencapai ke peringkat penyatuan (fana) dan syairnya berubah dengan nada yang berlainan. Di sini ia telah bebas dari dirinya dan berkata:
"Ceritaku adalah sekeping muka-surat, balikkannya dan kamu akan lihat aku tiada di sana, aku terjadi Mu dan di situ segalanya berakhir."
Rumi pernah berkata:
"Yang mengasih telah terserap dalam cinta dan cinta pula terserap dalam Yang DiKasehi."
Hallaj berkata:
Aku adalah Ia yang ku cinta Ia yang ku cintai adalah aku. Kami adalah dua roh yang tinggal dalam satu jasad. Kalau kamu melihat Aku, kamu akan melihat Ia. Kalau kamu melihat Ia, kamu akan melihat kedua-duanya sekali.
Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
"Segala-galanya di atas muka bumi ini akan musnah, Tetapi tetap mematuhi selama-lamanya, Wajah dari Tuhannya."
Seorang penyaer telah berkata:
"Di peringkat ini, Cinta dan kekasih terhapus, Hanya Kekasih yang tinggal, itu sahaja."
Nabi pernah bersabda mengenai maqam ini:
"Aku berada dengan Allah dalam keadaan di mana tidak seseorang malaikat atau nabi pun yang boleh berada bersamaku."
Kemudian muncul keadaan "kehairanan" (Hairat atau Tahayyur). Keadaan inilah yang paling sukar dimana yang mengasih tidak dapat menahan perpisahan atau persamaan.
Seseorang pernah berkata:
"Derita dalam pemisahan; hairan dalam kehadiran."
Seorang kekasih pernah berkata:
"Kalau aku memandangMu aku akan kehilangan nyawa. Kalau aku tidak melihat Kamu, bagaimanakah aku boleh hidup? Aku mengalami dilema yang aneh! Apakah aku harus kehilangan nyawa ataupun Kamu?"
Seorang penyair Sufi berkata:
Aku adalah lilin yang membakar, Kau adalah cahaya pagi, Kiranya aku tidak melihat Mu, aku terbakar Kalau aku melihat Mu aku musnah. Inilah keadaanku dalam perpisahan dan kehadiran, Aku tidak sanggup menghadapi perpisahan atau kehadiran.
Seorang lain pula berkata:
"Aku telah menghirup cawan demi cawan air anggur cinta, tidakpun aku merasa puas dan tidakpun habis air anggur."
....BERSAMBUNG --> | |