| Sufi Path One: Bahasa Melayu | |
APAKAH TASAWWUF oleh Alhaj W.B.S. Rabbani
Kehebatan manusia, atau kesempurnaan manusia, kalau boleh dianggap sedemikian, amat bergantung kepada perkembangan yang setinggi mungkin daripada kesemua kualiti luaran dan dalaman manusia dan penggunaan yang teratur daripada kualiti-kualiti tersebut.
Setiap sesuatu itu mempunyai dua segi, segi luaran dan segi dalaman. Nilainya tidaklah sangat bergantung kepada luaran, kalau dibandingkan dengan dalaman. Sebuah kotak penuh dengan berlian dan batu permata, adalah sudah pasti lebih berharga dari kotak yang kelihatannya lebih cantik tetapi penuh berisi dengan batubiasa dan habuk. Manusiapun mempunyai dua segi, segi luaran dan segi dalaman. Ianya adalah gabungan antara jasad dan roh. Ianya terdiri dari unsur yang kelihatan dan yang tidak kelihatan yang tergabung dalam dirinya, dan walaupun dalam halnya, yang satu itu sama pentingnya dengan yang satu lagi, sekurang-kurangnya pada peringkat permulaan kemajuaannya.
Ianya terdiri dari unsur yang kelihatan dan yang tidak kelihatan yang tergabung dalam dirinya, dan walaupun, dalam halnya, yang satu itu sama pentingnya dengan yang satu lagi-sekurang-kurangnya pada peringkat permulaan kemajuaannya-kemulian tertingginya mengatasi segala makhluk bergantung lebih kepada kecemerlangan dalamannya, kemampuan intelektualnya, pencapaian spiritualnya dan kerbersihan serta kesinaran rohnya daripada bentuk luarannya serta rupa dan kualiti jasad.
Perkembangan kuasa manusia semata-mata tidak dapat membawa seseorang kepada hasil yang menguntungkan, kecuali kuasa yang sedemikian rupa digunakan dengan baik lagi teratur.Contohnya, keahlian bermain pedang, boleh menjadi satu kecelakaan kalau salah digunakan. Atau jika sains itu disebalik membawa kebaikan kepada manusia, menjadi kuasa untuk menghancurkan, tentu sekali akan hilang segala kebaikannya dan akan menjadi sesuatu yang dikutuk.Demikian juga, kalau kualiti luaran dan dalaman manusia tadi dapat dikembangkan sehingga ke tahap kemahiran tetapi tidak dipergunakan dengan baik, maka ianya tidak akan memberi hasil yang diingini. Hal ini membawa kita untuk meninjau apakah unsur-unsur yang membentuk saluran yang sesuai bagi tamadun manusia dan aktivitinya.
SAINS DAN SUFISME BERUSAHA UNTUK MENCAPAI MATLAMAT YANG SAMA
Kejayaan seorang dalam kehidupannya bergantung kepada betapa banyaknya pengetahuan yang dimilikinya dari alam semesta ini dan penggunaannya yang betul. Lebih luas pengetahuannya, maka lebih banyak peluang baginya untuk berjaya. Ilmu mengenai penciptaan alam semesta tidak akan menyeluruh tanpa pengetahuan yang cukup mengenai Penciptanya serta prinsip dan dasar dimana alam semesta ini dicipta dan ditadbir. Inilah matlamat sains. Begitu juga matlamat Sufisme.
Lebih Sukar Menafi Dari Mengakui Wujudnya Allah.
Terdapat setengah golongan manusia yang tidak berkecenderungan untuk mempercayai wujudnya Allah. Namun mereka tidak dapat menafikanNya pula,kerana kewujudanNya adalah lebih sukar untuk dinafi dari diperakui. Sikap mereka adalah lebih kepada sifat agnostik daripada atheistik. Dengan kata lain mereka tidak memperdulikan daripada menafikan wujudnya Allah. Mereka tidak boleh begitu sahaja menafikan wujudnya Allah, kerana dengan cara demikian mereka telah menafikan wujudnya alam semesta serta diri mereka sendiri. Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa mempercayai tentang wujudnya kuasa yang paling tinggi yang mentadbir alam semesta ini.
Untuk membolehkan pengendalian dan pengawalan perjalanan kuasa-kuasa yang bertentangan dalam alam semesta, maka kuasa pengendalian tadi seharusnya lebih kuat dan bijak dalam serba-serbi di dunia ini, kerana kuasa yang lemah tidak berupaya untuk berfungsi dengan betul.
Dengan itu, ianya juga suatu kuasa luarbiasa dengan ertikata ianya lebih tinggi dari segala kuasa dalam alam semulajadi dan tidak terdaya difahami sepenuhnya oleh kuasa yang lemah dan tidak setaraf dengannya. Mereka yang berpura-pura tidak mempercayai Allah adalah bersealiran dengan mereka yang memperakuiNya baik secara sedar atau tidak, dan perbezaan dalam sebutan namaNya tidak mengapa. Secara rela atau tidak rela, meraka bersetuju pada satu hakikat, iaitu tentang wujudnya suatu kuasa luarbiasa dan bijaksana yang mengendali, mentadbir, mengurus dan mengawal seluruh alam semesta.
Dari itu, sekira adanya Pencipta-yang tidak ada syak wasangka lagi-tidak ada pengetahuan mengenai alam semesta yang tinggi nilainya tanpa mempunyai pengetahuan mengenai Pencipta; dan manusia, sebagai makhluk yang tertinggi sekali dalam penciptaanNya, tidak akan dapat menjalani tugasnya dengan sempurna sekiranya tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Penciptanya. Pemisahan dari Yang Maha Kuasa akan mengakibatkan suatu malapetaka. Tiada unit dalam sesuatu institusi, tiada askar di dalam angkatan tentera dan tiada pegawai dalam negeri yang boleh berfungsi tanpa hubungan yang baik dengan kuasa pusat tertinggi. Tanpa hubungan ini kesemuanya akan binasa lalu menjadi kelam-kabut dan kucar-kacir. Agamalah yang memandu kita kearah kebenaran dan mengendalikan hubungan kita dengan Allah. Dan hubungan kita dengan Allah merangkumi hubungan kita dengan segala yang lain di dunia ini.
Adalah satu kesalahan untuk menyatakan bahawa agama adalah merupakan soal peribadi seseorang dan tidak ada hubungan langsung dengan aktiviti sosial, politik dan ekonomi. Hal ini sama sahaja dengan menyatakan bahawa taat setia kepada raja adalah urusan peribadi rakyat dan tidak ada kaitan dengan pencurian, pembunuhan, pemusnahan sebahagian daripada harta kerajaan atau membuat hasutan. Tuhan adalah kuasa yang hidup. Ianya adalah AL HAYYUL QAYYUM dan tiada suatu pun yang terlepas daripada kuasaNya. Sesudah mencipta alam semesta Ianya tidak mengundur diri dalam kelelapan atau tidak berdaya atau hilang minat terhadap penciptaanNya. Ianya tetap berkuasa seperti biasa dan makhlukNya tidak boleh kehilangan pegangan terhadapNya tanpa menjejas kedudukan mereka dalam neraca penciptaan. Untuk mempertahankan perhubungan yang baik dengan Tuhan, seseorang itu harus berkelakuan sewajarnya dalam segala aspek kehidupan. Untuk melaksanakan ini, maka seseorang itu memerlukan agama-iaitu Islam, yang telah wujud semenjak terciptanya manusia. Ianya adalah agama Allah yang sebenarnya sepanjang zaman.
Allah berfirman dalam Quran:
"Satu-satunya agama di sisi Allah adalah Islam".
Semua para nabi adalah Muslim. Umpamanya, Allah berfirman dalam Quran:
"Bukanlah Ibrahim itu seorang Yahudi dan bukan seorang Nasrani; tetapi adalah ia seorang yang jauh dari kesesatan, ia seorang Muslim dan bukanlah pula ia seorang daripada musyrikin". (3:67)
Islam terdiri dari dua bahagian, zahir dan batin . Aspek zahir dikenal sebagai Syariat dan aspek batin sebagai Tariqat.
Syariat juga mempunyai dua bahagian:
i. Ibadat ii. Muamalat
Ibadat, merangkumi segala yang berhubungan dengan kepercayaan asas dan cara-cara penyembahan kepada Allah.
Muamalat merangkumi segala segi hubungan manusia, termasuk aspek-aspek sosial, ekonomi dan lapangan politik. Tariqat adalah jalan pembersihan (Tazkiya ) diri dari sudut rohaniah dan menumpu perhatian kepada emansipasi (kebebasan) kerohanian manusia. Oleh kerana jasad dan roh saling menjalini, maka Tariqat tidak boleh berdiri sendiri tanpa Syariat, dan kedua-duanya saling bergantung dan bekerjasama.
Disamping itu terdapat unsur ketiga iaitu Haqiqat yang berhubung dengan realiti (kebenaran) kehidupan dunia kini serta akhirat, termasuk ilmu (Maarifat ) mengenai Ketuhanan dan rahsia dari sifat-sifat dan dhat Allah. Ianya adalah suatu kesedaran-yakni, melalui pandangan sebenar dan pengalaman-dari apa yang anda lihat, rasa dan sedar hasil dari sinaran yang dipancarkan kepada kita oleh kombinasi kedua-dua Syariat dan Tariqat.
Kombinasi Syariat ,Tariqat dan Haqiqat diistilahkan sebagai Tasawwuf atau Sufisme. Ianya adalah sebenarnya suatu sains dan seni untuk mengembangkan fakulti kerohanian dari akal dan cuba memahami sejauh mungkin mengenai Tuhan, Sifat Ketuhanan, Perbuatan Ketuhanan (Af'al ) dan Misteri Ketuhanan. Ianya adalah gabungan teori dan amalan. Ilmu dan amalan silih berganti-ganti di antara satu sama lain. Pengetahuan yang dikehendaki oleh seorang murid baru adalah Syariat yang diatur oleh Nabi (S.A.W.) sendiri dan sesudah wafatnya , maka tugas tersebut diambil-alih oleh pewarisnya yang digelar sebagai Sheikh, Pir atau Mursyid , yang telah dirahmati dengan pengetahuan eksoterik (zahir ) dan esoterik (batin ) dan menikmati kedudukan yang diakui sebagai ahli waris dari Nabi.
PERLUNYA SEORANG SHEIKH.
Didikan secara peribadi yang diberi oleh pewaris-pewaris ini adalah satu faktor yang penting dalam pengembangan dan proses pembersihan (Tazkiyah ) Sufisme. Pengetahuan berdasarkan buku semata-mata tidak akan membawa seseorang itu ke mana-mana. Seseorang yang sakit itu sudah pasti memerlukan seorang doktor dan ubatannya. Sering kali, ia lebih memerlukan doktor dari ubatnya. Tanpa seorang doktor yang berkelayakan dan berpengalaman untuk mengatur perubatan, perubatan tersebut tetap tidak memberi kesan. Allah telah mengutus kepada kita kedua-dua sekali, doktor dan perubatan.... Nabi (S.A.W.) dan Al-Quran. Kitab suci Al-Quran tanpa Nabi (S.A.W) tidak akan dapat membawa perubahan yang sungguh cemerlang yang menjadi kebanggaan benua Arab. Tugas-tugas Nabi (S.A.W.) telah dihuraikankan secara teratur sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran:
"Ialah Tuhan yang telah bangkitkan di golongan ummi (buta-huruf) seorang rasul dari antara mereka yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya dan membersihkan mereka dan mengajarkan kepada mereka kitab itu dan kebijaksanaan, padahal sesungguhnya mereka itu adalah dahulunya di dalam kesesatan yang nyata" (LXll-2)
Maka, tugas Rasululklah S.A.W. terdiri empat perkata:
1. Menyampaikan ayat-ayat Quran kepada ummat manusia (iaitu menyampaikan kepada mereka firman Allah)
2. Membersihkan jiwa mereka, dan ini adalah satu hal yang agak berlainan dari sekadar menyampaikan firman Allah kepada mereka.
3. Mengajar mereka Kitab Suci. Ini berbea sekali dengan hanya menyampaikan kepada mereka firman Allah. Pengajaran disini bererti menerangkan kepada mereka makna dan maksud ayat-ayat quran dan melatih mereka cara yang teratur dalam mematuhi hukum-hukum Allah. Pengajaran yang sedemikian rupa hanya efektif apabila seseorang itu telah melalui proses pembersihan jiwa.
4. Akhirnya, membawa mereka bersemuka dengan Hikmah hasil daripada pengetahuan dan perbuatan sebaigamana yang tersebut di atas.
Pentingnya unsur peribadi dalam peningkatan manusia tidak dapat disangkal lagi. Kita bersyukur kerana mewarisi unsur peribadi ini melalui Sheikh atau Murshid. Nabi Mohammad s.a.w. adalah seorang pemimpin secara keseluruhannya pada zamannya. Nabi adalah seorang pembimbing agama, murshid , pembina masyarakat, ketua turus angkatan tentera dan pemimpin politik orang Islam. Pendek kata, pada diri Nabi terdapat satu gabungan fungsi pemimpin baik dari segi duniawi mahupun rohani. Dengan sekaligus Nabi ialah seorang raja dan rasul sebagaimana dengan Sulaiman, Daud dan nabi-nabi lain yang disebut dalam kitab suci Taurat, yang tersebut juga dalam kitab suci Al-Quran.
Tetapi apabila kemimpinan duniawi dan spiritual berpeacah , golongan rohaniah berkumpul di sekiling Saydina Ali , Khalifah Ar-Rashidin ke-empat yang juga sepupu Rasulullah S.A.W., dimana jumlah pengikutnya beribu-ribu orang yang mengambil berkat daripada ilmu dan kerohaniannya. Apabila golongan Umayyah dan Abbasiah, yang silih berganti sebagai pemimpin duniawi melihat keadaan sedemikian rupa, maka mereka menjadi curiga terhadap keturunan Saydina Ali dan menzalimi golongan rohaniah. Dengan sebab ini, pendidikan rohaniah diberikan secara rahsia bertahun-tahun selepas itu. Ini adalah salah satu sebab mengapa golongan rohaniah merahsiakan diri dan pertalian di antara Syariat dan Tariqat tidak jelas secara zahir.
Hal ini, malangnya telah menyebabkan timbulnya spekulasi dikalangan setengah ahli teologi Islam yang eksoterik, sarjana bukan Islam, dan kebanyakabnnya pendakwah Kristian, bahawa Sufisme adalah asing kepada Islam, walaupun pada kenyataannya banyak ayat-ayat Quran dan Hadis Nabi sendiri telah petik oleh sarjana-sarjana Kristian sendiri yang memperlihatkan secara langsung hubungannya dengan sifat esoterik Islam.
Kepimpinan rohaniah khususnya telah diserah kepada Aimma (katatunggal 'Imam') Ahlal Beyt , para pemimpin dari keluarga Nabi, dan sebahagian besar terdiri dari sahabah karib Nabi terdiri daripada Saydina Abu Bakar dan Salman Farsi. Semua silsilah Sufi berasal daripada mereka. Setiap Sufi di mana-mana akan mengait balik silsilahnya kepada mereka sampai ke Nabi Muhammad S.A.W. yang diibarat sebagai lautan samudera, Ali sebagai laluan keluar dan Aimma Ahlal Beyt dan para sahabat Nabi sebagai terusan yang mengalirkan air kepada mereka yang haus di seluruh dunia.
Pelbagai kumpulan tariqat Sufi atau dikenali sebagai "Salasul" (dari perkataan "Silsila" yang bermaksud "rantai") seperti Qadiriya, Chishtiya, Naqshbandiya, Suhrwardiya, Shadhliya, Madriya, Maulivya, Rifaiya, Badwis dan Sunusi yang dinamakan mengikut beberapa orang Sheikh (atau Murshid) dari zaman ke satu zaman adalah merupakan cabang-cabang dari empat atau lima salasul yang asli yang berasal dari pemimpin spiritual dari keluarga Nabi dan sahabat karib yang terkemuka.
.....BERSAMBUNG --> | |